Friday, June 22, 2007

Rabiatul Adawiyah kejar cinta.

Rabiatul Adawiyah kejar cinta.

Kerana itu dia lari rumah. Dia perlukan cinta ulung seperti cerita-cerita mat saleh yang sanggup mengorbankan segala-galanya kerana cinta. Cintanya benar dan suci. Dia benar-benar ikhlas. Begitu juga dengan pasangannya, Dhani yang sanggup mencari rumah baru untuk sama-sama mencari rezeki di Seremban. Rezeki yang halal untuk dibuat kenduri kahwin. Mereka berdua mahu menjadikan kenduri khawin mereka gilang-gemilang. Bukan apa, air muka saudara-mara mereka harus dijaga, takut-takut orang kampung mengata mereka berdua tidak mampu tapi ada hati mahu berumah tangga.

Dhani menyambutnya ketibaan sejurus dia sampai di Terminal One, seremban setelah hampir 10jam di dalam bas. Lelaki itu terus memeluk pinggulnya yang masih berdenyut-denyut memohon untuk diurut tetapi Rabiatul Adawiyah menolak lelaki itu, katanya mana boleh disentuh lelaki yang bukan halal bagi dirinya. Istigfar. Dhani hanya mencebik sambil meminta maaf. Dipujuk hati lelakinya supaya bersabar.

Rabiatul Adawiyah masih teringat pada Tuhan pada malam itu dan malam seterusnya. Hey, ini anak tok Imam! Aku hanya mahu cinta sejati. Bukan maksiat! Jerit hatinya. Kerana itu, banyak pantang larang dikenakan di rumah milik Dhani. Pasti lelaki itu tidak boleh memasuki bilik tidurnya. Lelaki itu banyak berkorban untuk dia. Dhani tidur di ruang tamu sedangkan dia tidur di dalam bilik lelaki itu. Kunci rapat.

Tetapi bukan pada malam ke-20 di Seremban. Dia merasakan bersalah membiarkan Dhani kehausan kasih sayang. Sememangnya lelaki itu tidak menyentuhnya lagi sejak eksiden hari pertama tetapi dia sendiri merasakan bersalah. Dia sendiri kehausan. Dia sendiri gersang ketika hormonnya turun naik menekan butang gatal pada malam 20 di Seremban melihat Dhani tidur hanya memakai seluar pendek tanpa baju di sofa ruang tamu.

Di dadanya, ada secebis keimanan yang tersisa. Rabiatul Adawiyah kejar cinta bukan maksiat. Bisik hatinya lembut. Pasti dia tidak melakukan selebihnya niatnya. Hanya mahu lakukan yang ringan-ringan sahaja. Dhani membiarkan dia membelai-belai manja. Tetapi barangkali malam itu bulan mengambang penuh dan kemungkinan pada malam itu imannya telah melarikan diri, merajuk dan mogok kerana tidak diberikan makanan rohani. Masing-masing dibuai enak melayan hormon-hormon sambil didodoikan oleh kawan baik ketiga mereka yang bertanduk dan berwarna merah itu. Itu hari ke 20. Malam Jumaat. Sekali sahaja. Tiada kali kedua.

Keesokkan hari, hari ke21, Rabiatul Adawiyah menangis dan meraung sambil berteleku di sejadah. Merasakan dosa yang menebal. Tapi dia sudah tiada jalan lain. Keluarganya dibuang dan hanya lelaki itu sahajalah jalan keluarnya. Berkali-kali dalam mimpinya dia merasakan punggungnya pedih disebat 100 kali. Dhani tidak berani mendekatinya kerana terkejut dengan perubahan dirinya yang mendadak. Matanya merah mengenang dosanya. Apakah dia bisa hidu haruman syurga?

Rabiatul Adawiyah mahu kejar cinta. Bukan maksiat! Dia tidak sengaja!

Lantas Rabiatul Adawiyah berhajat mahu lari sekali lagi dari rumah teman lelakinya pada hari ke-28. Entah tidak tahu mana arah tujuannya. Ke masjid barangkali, agar hatinya sedikit ketenangan. Dia mengemas bajunya satu per satu. Sedunya bertambah kuat bila memegang baju kurung hasil jahitan ibunya di kampung. Ibunya sering bercerita tentang asal usul namanya. Rabiatul Adawiyah asal terkenal dengan sang hambaNya yang begitu mencintai Tuhan yang maha kaya cinta.

Terbayang wajah ayahnya yang berjanggut dan sentiasa berkopiah memesan pada dirinya jangan pernah membelakangi Tuhan walaupun sekali. Hatinya berdegup kencang tetapi keputusan telah dilakukan. Dia mahu pulang ke kampung halaman biarpun dimarah! Dia nekad!

Perlahan-lahan dia berdoa supaya Tuhannya itu mengampuni dosanya biarpun dia terpaksa menghadapi hukuman berat.

Rabiatul Adawiyah kejar cinta lagi.

Tiba-tiba dunianya gelap seketika...
------------------------------------------

Perlahan-lahan, Rabiatul Adawiyah membuka matanya. Mengikut kata jurarawat di hadapannya, dia sudah tidur seharian selepas selesai pembedahan. Akalnya masih lagi terkial-kial mencari koordinasi dengan keadaan realiti. Dia merenung panjang pada tarikh hari ini bagi mengimbas kembali 30 hari di bumi asing..

Sudah genap sebulan dia di Seremban. Jauh dari keluarganya. Sudah 2 hari Rabiatul Adawiyah terkandas di bilik penuh katil ini. Di wad gynaecology, tingkat 2 hospital Tengku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan. dan dia keseorang menanggung kesakitan!

Rabiatul Adawiyah cuba mengingati kembali peristiwa 2 hari sebelum semua ini terjadi. Pada malam yang menyaksikan Tuhan itu Maha Adil dan Maha berkuasa di atas segalannya. Dia masih teringat lagi kesakitan di bahagian kanan bawah pusat setelah dia sedar dari pengsan. Terasa seperti ada pisau merobek-robek di situ. Terlolong-lolong kesakitan di tengah malam buta.

Gegas Dhani mengetuk pintu biliknya dan menerpa ke arah dirinya. Entah apa yang dibebelkan Dhani pun dia tidak dengar. Mungkin bimbang jika jiran mereka mendengar jeritan gadis di tengah malam. Malu bukan sebarang malu. Seluruh pancaindera tertumpu pada kesakitan yang dialaminya dan semuanya tidak dihiraukan lagi. Dhani terus menghantarnya dengan mendukung badannya yang genit persis seorang perwira di wad kecemasan.

Sangka mereka berdua sakit sengugut, paling tidak pun mungkin sakit appendicitis. Sangka mereka berdua, jika diambil ubat penahan sakit, boleh hilang kesakitan itu.

Pada mulanya, Rabiatul Adawiyah menidakkan pernah melakukan seks dan menyatakan status dirinya masih single ketika ditanya oleh doktor. Tapi, dia tidak tahu ujian air kencing itu ada kemampuan untuk menuduh dirinya hamil. Dia herdik doktor ketika doktor itu telah mengesahkan dia hamil. Kurang ajar. Aku kata aku tak pernah buat seks! Kenapa kau tak percaya! Jerit dirinya di bilik empat segi putih. Dr Syawaluddin hanya menudukkan pandangan. Istigfar. Dengan lembut tetapi tegas doktor itu mengatakan dirinya perlu ke wad untuk diperiksa dengan lebih lanjut. Mahu sahaja dia memberontak, tetapi kesakitan itu masih menyengat dan memaksa dirinya untuk akur sahaja.

Mulanya dia mahu pura-pura untuk menjadi seperti Mariam ibu Isa tetapi mana mungkin sejarah itu berulang. Dia bukan Mariam, jauh sekali dari sifat ibu Nabi. Mana mungkin sperma boleh masuk selain dari laluan vagina? Mana mungkin dia tersedut sperma melalui hidungnya? Dia tidak pasti bila sperma bodoh milik lelaki itu boleh berenang-renang dan kemudiannya telah bercantum dengan ovumnya menjadi sebuah zygot. Namun barangkali baka sperma lelaki itu tolol, tidak berjaya untuk memandu keluar dari tiub fallopian ke arah endometrium. Tersekat di laluan sempit itu dan kerana itu dia merasakan kesakitan yang teramat pada hari kelapan. Dia malu bila ultrasound juga menunjukkan sebelah tiup fallopian dia telah pecah kerana zygot tersekat di tiub fallopian. Lantas, dia dibawa ke bilik pembedahan dan doktor terpaksa membuang sebelah tiupnya yang telah dirobekkan oleh zygot yang tidak menjadi itu. Rabiatul Adawiyah merasakan dirinya cacat dengan bekas hirisan pembedahan dan kehilangan salah satu kilang peranakkannya..

Sedang Rabiatul Adawiyah mengimbas kembali kisah duka laranya, Dr. Syawaluddin bersama seorang doktor botak di wad Gynaelogy itu datang di hujung katilnya mengesahkan dia mempunyai mengandung di luar rahim (Ectopic pregnancy). Tidak pernah terlintas untuk merasai kesakitan itu dan tidak diduga untuk mendapat penyakit itu.

Malu sebenarnya kalau-kalau orang-orang disekeliling dapat curi-curi dengar apa yang dibincangkan. Rabiatul Adawiyah cuba mengerling kakak sebelah kanan tetapi kakak itu masih lagi tidur nyenyak dan suaminya masih merenung isterinya dengan tenang. Dia juga sebenarya malu kalau-kalau burung pipih atau burung gagak yang bertenggek di tepi tingkap itu terbang dan membawa khabar berita buruk pada ahli keluarganya di Terengganu. Dia tidak mahu walaupun sedikit tempias angin itu di bawa ke arah timur.

Tidak sesekali dia berani menelefon keluarganya. Tentu ayahnya menembaknya dengan senapang gajah dan ibunya menangis sehingga kiamat. Ayahnya Tok Iman kampungnya. Sebetulnya, keluarganya memang melarang dia untuk ke bandaraya Seremban mencari kerja demi mencari cinta! Ibunya tidak henti merasakan hatinya berat melepaskannya. Kata ibunya, telah solat isthikarah dan bermimpi tentang anak tunggal kesayangannya terpaksa melalui jalan yang sempit dan gelap di bandar Seremban. Kolot, detik hatinya dulu. Tapi dia degil. Dia mahu kebebasan, bukan sempit seperti di Timur. Penuh dengan pantang larang sahaja. Dia hanya mahu mengejar cinta demi memahami erti hidup. Dia mengambil keputusan untuk lari rumah untuk berjumpa dengan Dhani, jirannya..

Teman lelakinya telah hilang entah ke mana selepas puas menikmati malam ke-20 meragut mahkota wanitanya. Lelaki dayus. Penakut dan tolol. Tidak henti-henti dia sumpah seranah lelaki itu. Tetapi dia terpaksa mengakui dirinya sama bodoh seperti lelaki itu kerana itu jugalah kekasih hatinya untuk 30 hari lepas. Apakah seorang teman lelaki dapat setia bila mengetahui si gadis itu cacat sebelah peranakannya? Dhani hilang tanpa berita ketika dia berada di bilik pembedahan. Hanya suara perempuan operator yang menyambut pangilannya menyatakan nombor tersebut telah ditamatkan perkhidmatannya. Dhani tidak dapat dikesan. Dia akui, Dhani itu bengap tetapi dirinya merasakan dia mahukan sesorang untuk menemaninya seperti kakak di sebelah katil kanannya itu.

Kakak itu sakit sama dengan dirinya. Yang membezakan taraf mereka berdua ialah zygot yang tersekat itu datang sebagai ujian bagi kedua orang pasangan tersebut tetapi zygot yang tersekat dalam dirinya itu adalah balasan bagi dirinya seorang!

Kini, hari ini hari ke-30. Malam yang diiringi dengan bunyi ambulan yang sayup-sayup kedengaran. Rabiatul adawiyah perlukan teman! Sebenarnya dirinya sepi tanpa teman. Dirinya duduk bersendirian tanpa teman seperti kakak sebelah yang ditemani dengan suaminya yang setia datang tiap-tiap petang. Matanya masih lagi ragu-ragu untuk lelap semula walaupun hanya seketika. Tidak seperti kakak disebelahnya yang tidur nyenyak tersenyum dibuai mimpi. Barangkali kakak itu sedang mimpi berlari-lari bersama suaminya mengejar erti cinta di syurga. Dia sendiri tidak mampu untuk tidur, apantah lagi untuk bermimpi indah.

Bosan sudah mengusai mindanya. Terkial – kial dia mengira kambing biri-biri lompat panggar. Dia mahu kedamaian untuk menghalau hatinya yang gusar. Dia mahukan malaikat-malaikat datang untuk menghalau syaitan-syaitan yang menari di situ. Mahu membaca ayat-ayat al-quran, tidak tahu dimana simpannya memori itu. Hatinya telah gelap. Mahu buka al-quran, tidak pula ada al-quran. Terdetik rasa menyesal kerana tidak bermanja dengan surat-surat cinta wahyu dari Tuhan itu setelah sekian lama.

Rabiatul Adawiyah mengejar cinta. Tentu sekali dia perlukan cinta! Hatinya memberontak keras. Dia bangun dari katil itu dan mengambil wudhuk untuk solat. Perlahan-lahan dia pergi tandas. Sakit tidak hilang tetapi jiwanya perlukan ubat segera sebelum jiwanya mati. Seketika dia marah pada Tuhannya tetapi marahnya kembali terasa ditujukan pada dirinya sendiri.

Tuhannya itu telah mengabulkan doanya, mengapa perlu dia marah?

Rabiatul Adawiyah kejar cinta lagi!
Kali ini Rabiatul Adawiyah nampak jalan menuju cinta itu bersinar dan luas!Dia mahu menjadi seperti Rabiatul Adawiyah yang sebenar!

-------------------------------------------------------------------------------
p/s: cerpen ni aku buat time aku tak boleh tidur masa kat jb dulu...simple je.aku teringat time2 aku tengah posting o&g. hoho-aku tak boleh menahan diri aku untuk merepek walaupun patutnya cerita ini cerita yang serius.. yeay, aku tak buka friendster 5hari berturut. password aku si yani (kawan baik aku yg garang,serius tapi kelakar...hehe) yang simpan. Biarlah, aku ni memang kena laghro restriction. kena serius sikit sebab aku teramat tak serius. huhu. esok member2 aku ramai p konsis, tapi aku telan air liur ajelah. takpe,esok nak main badminton awal buta (yeay-badminton!), ada usrah k.yaqeen,shopping(aku lebih suka main badminton dari shopping kot) dan balek rumah lepak dgn mak,nal,af&at.

hidup mesti puas dan bebas! yeay!.owh,komenlah cerpen aku yang ntah ape ntah tue....

No comments: